KG AWAH (KA)AGROFARM

TANJUNG PERANG,KG AWAH,MARAN

No Tel:-0139515858(perus)

0139247824(hana)

0139044681(lie)

solehah_hanaz@yahoo.com (YM)

hanaz4582@gmail.com

Selasa, 17 November 2009

PARASIT TERNAKAN KAMBING

PARASIT TERNAKAN KAMBING

Mengenali Parasit
Parasit merupakan antara musuh utama ternakan kambing. Kehadiran parasit menyebabkan ternakan mengalami gangguan terhadap sistem pemakanan dan penghadaman makanan (seperti hilang selera makan dan mengalami ceret beret). Sesetengah parasit yang hidup dengan menghisap darah ternakan pula akan mengganggu dan melemahkan fungsi organ dalaman ternakan (akibat gangguan terhadap bekalan darah dan oksigen). Secara umumnya, kehadiran parasit akan melemahkan sistem imuniti ternakan terhadap serangan penyakit, mengakibatkan ternakan menjadi lemah dan gagal respons terhadap sebarang rawatan yang diberikan, dan akhirnya boleh membawa maut.

Parasit boleh dibahagikan kepada 2 jenis berdasarkan kehadirannya pada ternakan:
1. Parasit luaran – kutu dan fungi (penyebab kurap)
2. Parasit dalaman – pelbagai jenis cacing, coccidia, dll.

Parasit luaran - kutu dan fungi
Kutu dan fungi merupakan parasit yang menginap pada kulit ternakan, kutu hidup dengan menghisap darah ternakan tersebut.
Kehadiran kutu dapat dilihat dari keadaan luaran ternakan iaitu:
1. kulit menggelupas
2. ternakan kambing akan tergaru-garu menyebabkan bulu kelihatan tidak kemas, tanggal dan menjadi tipis.

Kesan-kesan serangan fungi pula menyebabkan kurap iaitu kulit berkuping-kuping, mengeras dan merekah. Kurap boleh membawa maut jika tidak dirawat, terutama jika terkena pada bahagian muka, iaitu di sekeliling mata dan mulut, sehingga mengganggu pergerakan dan pemakanan.
Ubat-ubatan: ivermectin, cidectin, dectomax, dll


Parasit dalaman

1. Coccidia
Coccidia merupakan sejenis protozoa (organisma bersel tunggal) yang menghuni perut ternakan kambing. Dalam keadaan biasa, coccidia tidak memberi ancaman kepada ternakan, malah membantu dalam pemprosesan dan pencernaan makanan di dalam perut ternakan. Tetapi apabila populasinya berlebihan dari paras normal, atau apabila kambing memakan dedaun dan makanan tertentu, ia menjadi terlalu aktif dan menyebabkan ternakan mengalami ceret beret yang akut, menjadi lemah dan seterusnya membawa maut.



Bagaimana mengelakkan serangan cocccidia?
Untuk mengelakkan coccidiosis (serangan coccidia), elakkan daripada mengubah amalan pemakanan ternakan secara mendadak. Ternakan kambing alah kepada pertukaran mendadak jenis palet dan dedaun. Jika pertukaran perlu dibuat, palet atau dedaun yang baru harus diberi dalam kuantiti yang kecil dan ditambah secara berdikit-dikit. Elakkan dedaun/rumput yang mengandungi terlalu banyak air.

Juga amalkan memberi cecair anti-coccidiosis di dalam minuman ternakan secara berkala, misalnya sekali dalam sebulan. Cecair anti-coccidiosis merupakan campuran berasaskan sulfur dan lain-lain bahan. Antaranya adalah ‘sulphaquinoxaline’, sulphadiminidine, dll. (Nota: kandang yang dilengkapi dengan sistem paip minuman menggunakan 'nipple drinker' adalah sangat sesuai untuk amalan ini, di mana cecair anti-coccidisis boleh dimasukkan ke dalam tangki minuman secara berkala (iaitu sekali sebulan).


2. Cacing

a. Kumpulan 1:
Terdapat pelbagai jenis cacing yang selalu menyerang ternakan iaitu:
1. Barbers pole worm (Haemonchus contortus)
2. Black scour worm (Trichostrongylus species)
3. Brown stomach worm (Ostertagia species)


Rawatan:
Ubat-ubatan yang dicadangkan:
1. Ubat suntikan dari famili "Mectins" - ivermectin, ivocip, dectomax, dll
2. Cidectin - cecair sapuan pada kulit ternakan

b. Kumpulan 2:
Selain dari cacing biasa, terdapat juga cacing berikut yang agak jarang ditemui, tetapi boleh juga merupakan ancaman kepada kambing yang diternak di lokasi tertentu di negara kita umpamanya di kawasan yang terlalu lembab, iaitu:
1. Nodule worm (Oesophagostomum spp)
2. Small lung worm (Muellerius cappillaris)
3. Tape worm (Monezia species) / cacing pita
4. Liver fluke (Fasciola hepatica) / cacing hati
5. Stomach fluke (Paramphistomum species)
6. Thin necked intestinal worm (Nematodirus)

Cacing hati biasanya datang dari rumput yang dimakan oleh ternakan. Rumput Napier yang tumbuh di persekitaran yang lembab dan berair berkemungkinan akan ditumpangi oleh sejenis siput halus yang menjadi perumah bagi cacing hati (liver fluke). Cacing hati ini akan berpindah ke dalam ternakan kambing apabila kambing tersebut memakan rumput dan seterusnya cacing ini akan meneruskan hidupnya dan membiak di dalam organ hati ternakan yang dijangkiti itu.

Rawatan
Ubat-ubatan yang dicadangkan untuk kumpulan cacing di atas:
1. NILZAN Broadspetrum
2. CHAN Broadspectrum

Pencegahan
Sebagai langkah pencegahan, adalah dicadangkan supaya ubat-ubat dari kedua kumpulan di atas diberikan secara sekali gus kepada kesemua ternakan di kandang dan secara berkala, contohnya sekali setiap 3 bulan. Pemberian ubat harus tidak kurang dari dos yang ditetapkan. Pemberian secara 'underdose' boleh menyebabkan cacing membina daya ketahanan terhadap ubat yang diberikan.

Tiada ulasan:

Catat Komen